Header Ads

11 Tips Mencari Makanan Halal Di Korea, Selepas Ini Tak Payah Bersedih Dah, Sebab Tak Jumpa Tempat Halal Dekat Korea


Bila dah ‘travel’ ke luar negara, sudah pasti mahu merasai kesedapan makanan yang ada di negara tersebut, tapai ada ketikanya pulang dengan kehampaan, kerana sukar untuk menjumpai makan yang halal di negara yang dilawati.

Tapi, buat mereka yang merancang untuk ‘travel’ ke Korea dalam masa terdekat ini, atau bila-bila masa nanti, ini ada perkongsian dari saudara Ahmad Affzan Abdullah telah senaraikan 11 makanan halal yang anda boleh cari di Korea.

Jom kita ikuti perkongsian darinya.


TIPS SURVIVAL CARI MAKANAN HALAL DI KOREA

Kalau kau ikut trip melancong ke Korea, biasanya kau akan pergi ke Seoul. Di sana, kalau kau pergi Itaewon, banyak restoran halal yang kau boleh terjah. Jadi tak ada masalah makan sangat. Sediakan duit sajalah.

Macam mana kalau kau tercampak ke luar Seoul atau tempat-tempat lain yang susah cari makanan halal? Takkan kau nak makan roti dengan ramyun (mi segera) saja kan?

Syukurlah aku ada pengalaman duduk di Ochang, Korea yang memang jauh dari Seoul. Maka sepanjang di sana, aku belajar dengan kawan-kawan Korea macam mana nak cari makanan halal.

Aku kongsikan di sini, manalah tau kalau kau nak pergi Korea tak ikut travel guide, bolehlah kau aplikasikan tips yang aku nak bagi ni.

1. Tengok gambar dekat papan tanda restoran

Ini general rule.

Secara umumnya, kalau restoran tu speciality dia ikan, dekat papan tanda dia ada gambar atau ikon ikan. Kalau speciality dia sotong kurita, ada gambar sotong kurita. Restoran jenis macam ni hampir keseluruhan makanan dia berasaskan gambar tu.

Ya, restoran yang papan tanda dia gambar khinzir pun ada. Kalau jumpa ni, baik kau cari restoran lainlah takut kau tak lalu nak order pula nanti.

Selain dari papan tanda, dekat menu dia pun ada gambar atau ikon ikan atau sotong atau binatang-binatang lain. Maka kau pilihlah yang halal dimakan.

Insya-Allah selamat. Jangan pula kau tanya periuk dia ada guna untuk masak daging ke tak, pisau dia, chopping board dia, chopstick semua kau nak selidik. Kalau kau jenis was-was macam ni, aku cadang kau simpanlah duit tu tak payah beli tiket pergi Korea. Baik kau guna duit tu pergi kelas belajar fiqh luar negara.

Lotteria. Restoran fast food di Korea

2. Lotteria


Lotteria ni kira restoran fast food yang terkenal di Korea, lebih kurang macam McD dan KFC. Jenama Lotte ni kau akan jumpa merata-rata. Buat makananlah, buat theme parklah. Macam-macam benda si pakcik Lotte ni buat.

Kalau berkunjung ke Lotteria, kau order Shrimp Burger atau burger udang. Rasa dia memang sedap, macam kau makan Filet O Fish di McD.

Kalau di UK dulu, aku makan Filet O Fish (McD) dan Bean Burger (Burger King) untuk cari yang halal. Di Korea pun samalah. Ada pilihan burger udang ni untuk orang yang tak makan daging.


3. Chamchi (참치)


Chamchi ni dalam bahasa Korea. Dalam Bahasa Melayu maksudnya Ikan Tongkol atau Tuna. Jadi kalau nak selamat, kau order makanan berasaskan Chamchi. Contoh makanan chamchi yang aku suka:

Chamchi kimbap

a) Chamchi Kimbab (참치김밥) 


Nasi gulung seaweed berinti tuna. Kira macam sushi tuna lah. Segulung tu panjang dia 30cm lebih kurang. Lepas tu nanti dia potong-potong macam sushi. Diameter Chamchi Kimbab ni lebih kurang 2 inci. Besar tu. Kau makan satu gulung ni aku rasa memang terbongkang terus atas katil.

Dulu aku tak tau macam mana nak cakap tak nak daging ikut tatabahasa yang betul, jadi aku cakap je "Gogi andeyo" - maksudnya lebih kurang jangan letak daging dalam tu.

Harga dalam 2,500 Won.

Chamchi dopbab. Dalam mangkuk hitam tu sup miso. Kemudian ada kimchi dan ais kosong.


b) Chamchi Dopbab (참치 덮밥) 

Nasi berlauk masak asam kimchi tuna. Yang ini favourite aku. Dulu masa aku puasa di sana pun, aku order dua pinggan nasi ni setiap malam. Satu aku guna untuk buka puasa, satu untuk sahur.

Lauk tuna dia tu macam kau makan masak asam pedas, cuma yang ini lebih asam dari pedas sebab dia guna kuah kimchi tu (melainkan kau tergigit cili dia).

Harga dalam 4,000 Won

Nakji dopbab yang dijual di kedai Misoya. Amat lazat!

4. Nakji (낙지)


Nakji ni pun dalam bahasa Korea. Dalam Bahasa Melayu maksudnya Sotong Kurita atau Octopus.

Restoran yang aku paling suka pergi waktu di Ochang ialah Misoya. Di sini ada jual Nakji Doebbab. Nasi dengan sambal sotong kurita. Fuh, memang terangkat beb! Dia hidang dalam claypot panas-panas. Kau gaul rata-rata, dah jadi nasi goreng berlauk sotong.

Kau boleh makan di situ atau bungkus bawa balik. Dia punya packing pun terbaik, bukan masuk plastik ikat tepi. Siap tray dengan mangkuk untuk sup miso dan kimchi sekali.

Menu bergambar sotong. Kedai ni memang speciality dia Chukumi


5. Chukumi Gui (쭈꾸미 구이)


Chukumi ni maksudnya Baby Octopus. Kau cari restoran yang ada gambar sotong, biasanya ada makanan ni. Dia akan masak sambal sotong ni dalam kuali di meja kau.

Cara makan dia, kau ambil satu sotong lepas tu balut dengan daun salad dia. Lepas tu sumbat masuk dalam mulut. Lebih kurang teknik dia macam orang tua-tua makan sirih.

Bila kau dah melantak sotong tu semua sampai tinggal sikit dalam kuali, makcik restoran akan datang bawa nasi. Kemudian nasi tu akan digaul dan digoreng sekali dengan sambal sotong tadi. Kira kau makan lauk dulu, lepas tu baru makan nasi goreng.

Chukumi gui ni pedas yang teramat tapi sedap. Kalau kau ada masalah sembelit, insya-Allah sembuh lepas makan chukumi ni.

6. Haemul (해물)

Kau sebut 'hae' tu macam nak sebut 'hair' dalam bahasa Inggeris. Haemul maksudnya seafood atau makanan laut. Jadi disebabkan makanan laut ni semuanya halal, maka kau tak perlu risau.

Kau masuk kedai, kalau tak tau nak order apa, cari yang ada perkataan haemul ni. Insya-Allah selamat.

Bajirak Kalguksu - mi sup kepah


7. Kalguksu (칼국수)


Kalguksu ni lebih kurang macam mi sup. Yang buat dia sedap tu ialah tekstur mi dia dan juga kuah. Simple, tak banyak sayur dan segala macam mak nenek barang dalam tu, tapi sedap.

Kalau nak order, kau order dua jenis ni:

a) Bajirak kalguksu - Mi sup kepah. Kepah dia banyak, segar dan kuahnya memang buat kau nak tonggengkan mangkuk tu hirup sampai habis.

b) Haemul kalguksu - Mi sup seafood. Sama juga, cuma ada tambahan binatang lain contohnya sotong.

8. Pajeon (파전)


Jeon ni cara sebut dia macam kau sebut John. Pajeon ni lebih kurang macam telur dadar campur tepung berinti daun bawang dan bahan-bahan lain.

Kalau nak rasa telur dadar ni, ada dua jenis yang kau boleh order

a) Haemul pajeon - telur dadar campur seafood (udang, sotong, kepah)


b) Kimchi pajeon - telur dadar campur kimchi.



9. Goguma pizza


Goguma maksudnya sweet potato atau keledek. Jadi kalau pergi kedai pizza, kalau tak nak order 'cheese and tomato pizza', kau boleh order pizza keledek ni.

Jangan gelak. Bunyi macam pelik, tapi rasa dia sedap. Macam kau makan pizza pisang campur kaya di Domino's Pizza tulah.
.

10. Makanan ringan


Untuk senarai makanan ringan, aku cadangkan kau pergi ke page Halal Korea. Kau boleh tengok apa yang selamat untuk dimakan dan apa yang kau kena elak. Makanan ringan ini senang dibeli di kedai serbaneka GS25 (macam 7-eleven) atau pasaraya yang lain.

Antara makanan dan minuman yang aku suka:

1) Milkis - air berkarbonat susu + yogurt tapi rasa vanilla. Sedap lemak berkrim.

2) Pepero - yang ini biasa kau jumpa di Malaysia. 


3) 새우깡 - keropok udang jenama Nongshim

4) Nacho Rich Cheese jenama Orion
 


Pelbagai jenis kimchi dan side dish

11) Lain-lain


a) Ais kosong (atau dalam bahasa korea dipanggil 'mul') percuma di semua restoran yang kecil-kecil ni. Boleh free refill lagi. Kalau kau nak air berperisa, kena bayarlah

b) Kimchi pun diberikan percuma. Mula-mula dulu aku tak suka juga. Lepas sebulan, memang jadi ulam. Kalau makan tak ada kimchi ibarat lagu tanpa irama.


c) Bibimbap pun halal juga. Minta yang tak ada daging. Cuma bibimbap ni biasa sangat, nasi dengan telur dan sayur. Bosannya. Baik kau makan benda-benda yang aku cadangkan tadi lagi sedap.


Beginilah rupa nakji dopbab selepas digaul dan sedia untuk dimakan.

Chukumi

Menu yang ada gambar sotong. Bajirak Kalguksu harganya 5000 won. Chukumi harganya 12000 won untuk saiz kecil

Bajirak Kalguksu - hidangan untuk 4 orang

Di sebalik dedaun yang menghijau, tersimpan di dalam kuah itu perut-perut ikan yang dikorek dengan rakus. Haha

Telur boleh tahan lagi sebab selalu juga makan telur ikan masak asam. Perut yang bergulung-gulung tu yang tak tahan

Aku harap sedikit sebanyak ada gunalah juga tips yang aku beri ni. Jangan nanti kau jalan-jalan ke Korea tapi makan tak puas.

Kalau ada apa-apa yang aku silap, sila betulkan. Ini aku cakap berdasarkan pengalaman aku duduk dalam 2 bulan lebih di sana. Rasanya cukuplah ni untuk survive. Kalau ada saudara mara yang belajar atau menetap di Korea, mungkin boleh tambah tips lagi.

No comments

Powered by Blogger.